Cara-cara Peguam Membantu Dalam Urusan Jual-Beli Rumah & Hartanah


Mungkin anda merasakan khidmat peguam hartanah tidak begitu penting kerana anda boleh mengurangkan kos dengan melakukan proses rundingan harga sendiri, lebih-lebih lagi apabila anda bergantung pada nasihat dan pengalaman rakan-rakan anda yang telah melalui proses yang sama. Akan tetapi, pembeli rumah pertama kebanyakkannya masih memerlukan nasihat guaman untuk memastikan proses pembelian berjalan lancar terutamanya jika anda membeli rumah subsale (secondary).
Anda perlu tahu apa itu ‘conveyancing’ terlebih dahulu untuk memahami dengan lebih lanjut kepentingan khidmat peguam hartanah dalam proses jual beli. Conveyancing merujuk kepada perkara berkaitan perpindahan hak milik tanah seperti dokumentasi dan pengurusan.

#1 Jaminan profesional



Menggunakan khidmat peguam di peringkat awal pembelian rumah memberikan kelebihan kepada anda dalam proses rundingan. Dalam hal berkaitan perpindahan hak milik tanah, setiap peguam terikat dengan Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166). Sebaliknya, jika anda mendapatkan khidmat individu selain daripada peguam yang diiktiraf, mereka tidak terikat dengan apa-apa akta dan pertubuhan profesional.
Anda tidak perlu ragu-ragu kerana peguam juga menjamin perkhidmatan yang ditawarkan adalah secara profesional dari awal sehingga selesai proses jual beli. Peguam hartanah juga harus mematuhi peraturan dan piawaian yang ditetapkan oleh Majlis Peguam iaitu badan yang menyelia peguam-peguam di Semenanjung Malaysia atau Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak bagi negeri Sabah dan Sarawak.
Oleh hal demikian, seseorang peguam bertanggungjawab ke atas pelanggan mereka dan sentiasa melindungi hak anda dalam apa juga situasi perundangan yang mungkin terjadi. Selain itu, peguam anda memainkan peranan penting dalam memberi khidmat nasihat sekiranya berlaku sesuatu yang di luar jangkaan. Ini akan memberikan anda ruang untuk mebuat keputusan terbaik dalam mendapatkan jalan penyelesaian.


#2 Memastikan setiap dokumen lengkap




Jika anda membeli rumah buat kali pertama, pelbagai dokumen yang diperlukan sepanjang proses jual beli seperti dokumen perjanjian jual beli, pinjaman perumahan, ikatan hakmilik, insurans dan dokumen persendirian akan membuatkan anda berasa kelam-kabut dan ini akan  menyukarkan keseluruhan proses jual beli itu.
Peguam anda akan memastikan tiada keciciran dokumen penting yang boleh melambatkan proses jual beli. Penangguhan dalam proses jual beli merugikan anda kerana pembeli lain akan menggunakan kesempatan ini untuk membida harga yang lebih tinggi. Malah, ada kemungkinan anda sukar untuk mendapat pinjaman dari bank kerana dokumentasi anda kurang memuaskan.

#3 Menerangkan prosedur dan istilah hartanah




Mungkin ramai yang tidak mahu mengakui bagaimana mereka sebenarnya tidak membaca dengan teliti setiap dokumen berkaitan jual beli hartanah terutamanya kontrak jual beli yang sangat penting.
Kesilapan ini sememangnya akan mendatangkan impak negatif di masa akan datang.Amatlah penting bagi anda untuk membaca dan memahami kontrak, terutama sekali salinan-salinan dokumen yang mengandungi klaus-klaus yang berkaitan dengan status anda sebagai pembeli.
Walau bagaimanapun, tidak semua istilah, terma dan syarat di dalam dokumen ini mudah difahami. Di sinilah khidmat kepakaran seorang peguam amat diperlukan. Rujuk kepada pakar guaman anda berkaitan apa sahaja yang mengelirukan sebelum menandatangani sebarang dokumen.

#4 Urusan dengan pihak ketiga



Pembelian menerusi agen hartanah terutamanya untuk rumah subsale adalah sesuatu yang sangat mengelirukan bagi pembeli rumah pertama. Kepakaran dan nasihat peguam anda dapat membantu anda mengenalpasti perkara-perkara yang harus dilakukan dan untuk dielakkan.
Peguam anda semestinya lebih arif dalam mengenalpasti sekiranya sesebuah rumah itu mepunyai sebarang sekatan undang-undang sebelum rundingan jual beli dibuat. Sekiranya anda mengikut nasihat peguam anda, agen hartanah yang kurang telus tidak akan dengan mudahnya mengambil kesempatan dengan meminta bayaran wang pendahuluan tanpa dokumen lengkap.

#5 Merancang wasiat dan tabung amanah



Ramai yang mengatakan, tiada apa yang pasti melainkan ‘death and taxes’ (kematian dan cukai). Walaupun merancang untuk saat kematian adalah suatu pengalaman yang kurang menyenangkan, ia boleh menghalang dari terjadinya perebutan harta di kalangan ahli keluarga apabila tiba masanyananti.
Peguam yang berkepakaran dalam hal berkaitan wasiat dan amanah akan memastikan hartanah anda jatuh ke tangan individu yang sepatutnya apabila anda meninggal dunia. Walaupun anda mungkin boleh menulis wasiat anda sendiri tetapi masih ada aspek-aspek perundangan yang harus diambil kira.
Sebagai contoh, berapa orang saksi yang diperlukan untuk sesebuah wasiat itu diiktiraf sah dan diperakui? Apakah format yang betul dalam menulis wasiat? Apakah yang akan terjadi dengan segala hutang atau cukai hartanah yang belum dilunaskan? Apakah informasi penting yang perlu disertakan di dalam wasiat?
Pemindahan harta selepas kematian adalah proses yang rumit dan panjang. Mendapatkan khidmat seorang peguam sejak permulaan boleh mengurangkan bebanan keluarga anda di masa hadapan nanti.



Sekiranya anda memerlukan khidmat guaman untuk  kes-kes litigasi (saman-menyaman), jenayah, jual-beli hartanah, Blockchain dan FinTech, nasihat urus niaga rentas sempadan dan sebagainya, hubungi peguam Hakimi di talian atau WhatsApp 012-2132308 atau telefon pejabat di (03) 9139 0066 untuk menetapkan temujanji.

Comments

Popular posts from this blog

Business Sale and Purchase Agreement - Get the Right Lawyer!

Transferring Real Property in Malaysia